Thursday, January 7, 2010

ISL MINGGU 1

ISL MINGGU 1

PENGERTIAN KONSEP PENTAKSIRAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

PENTAKSIRAN:

Pentaksiran merupakan satu proses mendapatkan malumat dan seterusnya membuat penghakiman serta pertimbangan tentang produk sesuatu proses pendidikan.

Konteks pendidikan: Pentaksiran merupakan satu episod dalam proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang pembelajaran seorang pelajar bagi sesuatu tujuan. Pentaksiran juga merupakan satu proses untuk mendapatkan gambaran tentang prestasi pembelajaran seseorang dalam sesuatu subjek atau aktiviti pembelajaran. Aktiviti pentaksiran dijalankan secara berterusan.

Tujuan penaksiran:

1. Proses mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran

2. Menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran

3. Mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran memperbaiki pengajaran-pembelajaran.

4. Merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan murid.

5. Melibatkan semua atau sebahagian besar murid dalam kelas secara efektif.

6. Merancang dan melaksanakan aktiviti tindak susul yang berkesan.

7. Memperbaiki pengajaran dan pembelajaran

PENGUJIAN

Pengujian dapat dianggap sebagai proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar.

Menurut Cronbach (1970),

“Ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan batuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori”.

Contoh skala bernombor ialah angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100/120 untuk ujian kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula ialah “ekstrovert” atau “introvert” bagi ujian personaliti, atau “rabun warna” bagi ujian penglihatan. Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros 1981, (dipetik dari Raminah, 1991) yang menegaskan bahawa:

“Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan”.

(Raminah 1991:2)

Hasil daripada pemarkahan jawapan pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai “markah” akan diberikan kepada pelajar tersebut. Pengujian menjelaskan tahap berapa baiknya prestasi pelajar yang diuji.

Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan/ pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui pengujian inilah seseorang guru mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai pengetahuan,kemahiran atau sikap yang ingin disampaikan guru.

Kesimpulannya, pengesanan hasil pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat melalui pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat, yang dilaksanakan guru dalam bilik darjah. Justeru, kecekapan guru membangunkan alat pengujian amat penting, malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

PENILAIAN

Penilaian merupakan satu proses untuk menghasilkan nilai kuantitatif untuk menentukan peringkat pencapaian dan kedudukan dalam pembelajaran.

Penilaian merangkumi aspek pengujian dan pengukuran.

Penilaian juga dapat didefinisikan sebagai satu proses/prosedur yang sistematik bagi membuat pertimbangan dalam menafsir hasil pengukuran, yang bertujuan untuk memberi maklumat tentang pencapaian akademik, kemahiran atau sikap.

Menurut Gay (1985),

“Penilaian ialah satu proses yang sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai”

Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek hasil pengajaran dan pembelajaran dan juga hasil program pengajian berbanding matlamat asalnya.

Tujuan penilaian:

1. Membantu guru mengetahui keupayaan penguasaan pelajar.

2. Membantu guru dalam membuat perbandingan antara seseorang pelajar dengan rakan-rakannya atau antara kelas tersebut dengan kelas yang lain.

3. Membuat perbandingkan pencapaian pelajar dalam subejk tersebut dengan pencapaian dalam subjek lain.

4. Menentukan pelajar yang tinggi keupayaannya dan yang amat lemah keupayaannya dan lemah pencapaiannya

5. Membantu guru dalam menentukan pengayaan dan pemulihan bagi pelajar yang berkenaan.

6. Membantu guru dalam membuat jangkaan terhadap potensi atau bakat pelajar terhadap pembelajaran.

7. Membolehkan guru menilai bahan-bahan dan teknik serta kaedah pengajaran mereka.

8. Melalui ujian penilaian yang dilakukan guru dapat berusaha meningkatkan keberkesanan pengajaran mereka.

9. Pelajar berpeluang mengetahui kelemahan dalam sesuatu kemahiran atau bidang dan segera memperbaikinya.

Rujukan:

http://pentaksiranbahasamelayu.blogspot.com/2009/09/kaedah-penilaian-bahasa.html

http://nurulsimaothman-bmm.blogspot.com/2009/05/tajuk-15-penilaian-pengalaman.html

No comments:

Post a Comment